BUKAN BLUETOOTH,
BUKAN WIFI
Agak melucukan! Begitu tanggapan awal saya
saat membaca sebuah perumpamaan moden yang memperkatakan tentang perbezaan
antara lelaki dan perempuan dalam menanggapi perhubungan sesama mereka.
“Men are like Bluetooth. He is connected to you when you
are nearby, but searches for other devices when you are away. Women are like
Wifi. She sees all available devices, but connects to the strongest one.”
“Hmmm…bila
teknologi terkini dijadikan perumpamaan manusiawi…siapalah pengarangnya.
Bagaimana agaknya kalau ayat itu diubah sedikit.” Saya berbisik sendiri.
“Men are like Bluetooth, you are next to him, then he
stays connected. You go away, he finds for new devices. And a lady, however, is
like Wifi. Many devices can connect to her as long as she is not secured. ”
Bibir saya terus menguntum senyum.
“Mungkin kerana itu, ada yang berpandangan bahawa pencarian seseorang yang
‘betul’ dan tepat bagi diangkat sebagai pasangan hidup yang serasi dan membawa
bahagia,seumpama mencari sehelai rumput paling cantik.” Bisikan saya bertali.
Suatu ketika, seorang guru yang bijaksana sedang berteduh di bawah sepohon
pokok yang agak besar dan rendang. Bersamanya seorang pelajar yang masih muda
tetapi gemar bertanya dan mengutip pengalaman daripada yang lebih berusia
darinya.
“Guru, bagaimana kita dapat mencari pasangan hidup yang sejati? Bolehkah
guru membantu saya?” Tiba-tiba pelajar itu menyoal.
Sang guru tidak terus menjawab, sebaliknya dia merenung jauh ke tengah
kehijauan padang.
“Wahai muridku, saya akui soalanmu ini amat indah untuk dicerna, namun
sukar untuk dilaksana....” Sang guru membuka bicara.
“Cuba kamu lihat padang yang luas itu. Terdapat banyak rumput di atasnya.
Bagaimana kalau saya meminta kamu berjalan di sana, tetapi kamu tidak
dibenarkan untuk mundur semula. Hanya berjalan terus, maju ke hadapan. Dalam
perjalananmu itu, saya mahu kamu mencari sehelai rumput paling cantik, ambil
dan berikan kepada saya.”Sang guru mengarahkan.
Tanpa banyak bicara, pelajar itu menurut. Langkahnya diatur ke tengah
padang yang luas. Dia berjalan sambil matanya melilau mencari sehelai rumput
paling cantik menurut perkiraannya untuk diberikan kepada sang guru.
Namun, selang beberapa ketika…
“Saya tidak melihat sehelai rumput pun pada tanganmu?” Sang guru bertanya
bila dilihat pelajarnya itu kembali ke bawah pohon besar dengan tangan kosong.
“Saya berjalan, dan terus berjalan. Bila sahaja mata saya tertancap pada
sehelai rumput yang saya rasakan paling cantik, hati saya pula menyanggah :
"Nanti dulu! Rumput-rumput di depan ini masih banyak, mungkin ada yang
lebih cantik dari yang ini.
Lalu, rumput itu saya tinggalkan dan pencarian diteruskan. Namun akhirnya,
tanpa saya sedari saya sudah pun sampai ke penghujung padang yang luas, tetapi
tiada sehelai rumput pun yang berada di dalam genggaman...” Ujar pelajar itu
dalam nada keletihan.
Mendengar jawapan balas pelajarnya, sang guru yang bijaksana tersenyum
penuh makna.
“Inilah realiti hidup....Padang yang luas itu, umpama masa, rumput-rumput
yang banyak itu umpama orang ramai di sekelilingmu, manakala rumput yang cantik
pula adalah individu yang menarik perhatianmu. Justeru, keadaanmu tadi banyak
berlaku dalam hidup manusia dalam mencari cinta sejati. Mereka mencari, bertemu
yang menambat hati, tetapi dek mengenangkan mungkin ada yang lebih baik dari
yang telah ditemui, mereka teruskan mencari sehingga tanpa sedar, sudah banyak
masa yang terbuang, sudah banyak tenaga yang hilang. “ Sang guru menjelaskan
penuh hikmah.
“Oleh itu, dengarkan nasihatku ini. Dalam mencari pasangan hidup, janganlah
selalu membanding-bandingkan dan berharap akan ada seseorang yang lebih baik di
hadapan, kerana jika itu kau lakukan, masamu akan hilang, tubuhmu pasti
kelelahan...” Sang guru menutup bicara disambut anggukan yang tidak putus dari
pelajarnya.
PANDUAN ILAHI
Tidak perlu bertegang urat mempertahankan sama ada perumpamaan-perumpamaan
di atas benar atau tidak, kerana sebagai seorang muslim, Islam telah
menggariskan panduan yang amat adil lagi bijaksana dalam menentukan kriteria
pasangan yang baik menurut kacamata agama.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda :
تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا
وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا ، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ
يَدَاكَ
Maksudnya : “Wanita itu
dinikahi kerana empat perkara; [pertama] kerana hartanya, (kedua) keturunannya,
(ketiga) kecantikannya, dan (keempat) agamanya. Maka, carilah yang baik
agamanya, jika tidak maka kamu akan tersungkur fakir.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )
Di dalam hadis ini baginda SAW menyatakan bahawa faktor pendorong seorang
lelaki untuk menikahi seorang wanita itu ada empat iaitu harta, keturunan,
kecantikan dan agama, dan di akhir hadis baginda SAW memerintahkan agar memilih
wanita yang baik agamanya serta memberikan dorongan untuk mencapai tujuan
tersebut. Demikian juga, panduan ini turut terpakai ke atas wanita dalam
mencari lelaki yang akan menyuntingnya sebagai suri.
Walaupun begitu, bukanlah satu perkara yang tercela jika seorang lelaki
atau wanita itu memperhatikan faktor keturunan, kecantikan dan harta asalkan
dia tidak meniggalkan faktor terpenting iaitu agama. Ini kerana, agama menjadi
batas yang menghadkan perkataan dan perbuatan seseorang dari melampaui kadar
yang sepatutnya yang telah ditentukan agama.
Sebagaimana satu riwayat yang menyatakan seorang lelaki datang kepada Imam
Hassan al Basri dan berkata kepada beliau :
“Sesungguhnya saya memiliki seorang puteri yang saya cintai dan banyak
orang ingin melamarnya, maka apakah pandanganmu kepadaku wahai Hassan al Basri
?”
“Nikahkanlah dia dengan lelaki yang takut kepada ALLAH kerana jika dia
menyintai anakmu maka dia akan memuliakannya dan jika dia tidak menyukainya
maka dia tidak akan menzaliminya”. Hassan menjawab penuh keyakinan.
Sungguhpun demikian, walau sesukar manapun cabaran yang ditempuhi dalam
misi pencarian si pecinta sejati, sama ada ia melahirkan tawa ceria mahupun
esakan hiba, apa yang selalu diharapkan dari perhubungan antara dua jiwa ini
adalah keberkatan. Wujudnya keberkatan sebagai peneman kehidupan berumahtangga,
bermakna, lorong-lorong perhubungan antara lelaki dan wanita yang bergelar
suami dan isteri itu selalu tampil aman dan sejahtera biar sesempit apapun
lorong tersebut untuk diselusuri bersama.
JODOH TIDAK SEPADAN
Untuk itu, perkara pertama perkara yang perlu diinsafi dalam mencari yang
terbaik mengikut kacamata agama ini, iaitu diri sendiri yang turut menyumbang
kepada sama ada harmoni atau berantakannya rumahtangga yang akan dibina kelak.
Lantaran itu, mencari yang soleh atau solehah perlu beriringan dengan menjadi
yang soleh atau solehah juga.
Firman ALLAH SWT :
Maksudnya : “Wanita-wanita
yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat
wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk
laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang
baik (pula).” ( Surah an Nur ayat 26 )
Saya pernah ditanya berkenaan ayat ini, iaitu bagaimana jika seseorang itu
sudah memperbaiki diri, setelah berusaha mencari dan mendapatkan pasangan yang
dirasakan mampu bersama-sama mengharung suka dan duka, tetapi setelah
berkahwin, dia mendapati jodohnya itu tidak sebaik dia?
Saya memberikan jawapan.
“Selagi mana tumpuan kita dalam perkahwinan adalah ‘dia’ ( pasangan ) dan
bukannya diri sendiri ( saya ), maka selama itulah kita seakan terlepas pandang
bahawa penegasan ayat ini sewajarnya lebih dulu ditumpukan kepada pembaikan
diri sendiri terlebih dulu dan bukannya orang lain. Lalu usaha untuk menjadi
lelaki atau wanita yang baik ( soleh atau solehah ) sebelum atau selepas akad
berlangsung, haruslah berterusan dengan tidak menggantungkan apa-apa perkara
yang berada di luar ‘saya’.
Sungguhpun lelaki sebagai seorang suami, manakala wanita bergelar isteri,
kedua-duanya memiliki perbezaan yang ketara, tetapi andai keduanya bersinergi
mengikut acuan agama, ia pasti menghasilkanmithaaqan ghalizaa iaitu satu perjanjian yang utuh sesuai
dengan firman-NYA :
Maksudnya : “Bagaimana
kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebagian kamu telah bergaul (bercampur)
dengan yang lain sebagai suami isteri. Dan mereka (isteri-isterimu) telah
mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.” (
Surah an Nisa’ ayat 21)
Perjanjian antara suami isteri yang sedemikian kukuh, sehingga jika mereka
terpisah di dunia kerana kematian, maka mereka tetap dipertemukan kembali oleh
ALLAH SWT di akhirat setelah kebangkitan. Sebagaimana firman-NYA dalam surah
Yasin ayat 56 yang bermaksud :
“…mereka bersama pasangan-pasangan mereka bernaung di
tempat yang teduh.”
TELADAN AL QURAN
Ada beberapa kisah yang ditampilkan ALLAH SWT menerusi kitab-NYA yang
mulia, iaitu al Quran. Kisah beberapa pasangan suami isteri yang amat menarik
untuk kita telusuri, mengambil ibrah dan pengajaran padanya yang penuh beerti
untuk kehidupan ini.
Kisah-kisah tersebut boleh kita simpulkan kepada dua kategori :
----->Pasangan yang bersama di dunia, tapi terpisah di
akhirat.
----->Pasangan yang terus bersama, di dunia dan
akhirat sana.
Kisah pasangan suami isteri bagi kategori pertama ditampilkan oleh ALLAH
SWT di dalam al Quran melalui kehidupan berumahtangga Nabi Nuh a.s dan Nabi Lut
a.s yang mana kedua-duanya mengahwini wanita penderhaka kepada Yang Maha Esa,
manakala sebuah kisah lain yang turut tersenarai di bawahnya ialah kisah
Permaisuri Asiah dan pasangannya Fir’aun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan
yang layak diserahkan pengabdian.
Gambaran pasangan ( isteri ) yang buruk disebutkan dalam ayat berikut :
ضَرَبَ اللهُ مَثَلاَ لِلَّذِيْنَ كَفَرُوا امْرَأَةَ
نُوْحٍ وَامْرَأَةَ لُوْطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا
الصَّالِحِيْنَ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللهِ شَيْئًا
وَقِيْلَ ادْخُلاَ النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِيْنَ
Maksudnya : “ALLAH
menjadikan isteri Nabi Nuh dan istri Nabi Lut sebagai perumpamaan bagi
orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah ikatan pernikahan dengan dua orang
hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami. Lalu kedua isteri itu berkhianat
kepada kedua suami mereka, maka kedua suami mereka itu tidak dapat membantu
mereka sedikitpun dari siksa ALLAH, dan dikatakan kepada keduanya: ‘Masuklah
kalian berdua ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk neraka’.” ( Surah At-Tahrim ayat 10 )
Sementara gambaran pasangan ( suami ) yang jelek pula diketengahkan
oleh-NYA melalui ayat :
Maksudnya : "Dan
ALLAH membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika
ia berkata: “Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisi-MU dalam syurga
dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari
kaum yang zalim.”( Surah at Tahrim ayat 11 )
NIAT PENENTU BERKAT
Paling menarik, bagi kategori kedua pula, ialah dalam banyak kisah pasangan
bercinta yang dirakamkan al Quran, ada sebuah kisah cinta sejati yang amat
perlu dijauhi.
Kisah itu adalah catatan perjalanan cinta pasangan ‘musuh’ ALLAH yang
kehidupan mereka serasi bersama, dipenuhi agenda menzalimi, menyakiti dan
menjadi duri kepada kehidupan Nabi SAW dan kaum muslimin. Begitulah aktiviti
yang dilakukan oleh Abu Lahab dan isterinya yang mana kisah mereka dilontar
penuh hina oleh ALLAH sebagaimana firman-NYA di dalam surah al Lahab. Mereka
bersama di dunia, dan terus setia bersama hingga ke neraka-NYA.
Oleh itu, sewajarnya bagi individu muslim yang baik pemahaman agamanya,
menyedari bahawa bila sahaja menyebut tentang kemuliaan yang dikurniakan ALLAH
menerusi ujian kehidupan, kemungkinan yang tiba antaranya adalah dari ujian
berumahtangga. Lalu, dengan memahami itu, sewajarnya tindakan paling awal yang
harus dipraktiskan ialah menyubur sabar di samping usaha yang tuntas untuk
membawa rumahtangganya ke jalan kebenaran.
Hakikatnya, tiada siapa dapat menebak sejauh mana ‘baik’ yang berada dalam
dirinya berbanding pasangan. Ini kerana kemungkinan yang dijadikan kayu ukur
dan dacing penimbang keserasian hanyalah dari aspek luaran semata. Sedangkan
andai diukur dari aspek dalaman rohani masing-masing, kemungkinan pasangannya
itu lebih baik dari sudut keikhlasan kepada ALLAH SWT. Ingatlah, merasa baik
selalu menjadi halangan tanpa sedar kepada usaha yang lebih jitu lagi untuk
memperbaiki diri ke tahap selanjutnya.
Musuh kepada terbaik adalah baik!
Oleh itu, niat dari awal perlu dipastikan berada betul di atas landasan.
Niat ketika menetapkan kriteria-kriteria bakal pasangan. Niat ketika melihat
bakal raja dan ratu hatinya. Niat ketika menyatakan persetujuan untuk
bertunang. Niat ketika gerbang pernikahan melebarkan pintunya dan niat-niat
lain seterusnya.
Niatlah yang akan menjadi timbang tara awal kepada keberkatan dalam
jalan-jalan kehidupan berumahtangga.
Dan sudah pasti niat unggul seorang mukmin sejati itu hanya satu, demi
meraih reda ILAHI; mengharapkan perhubungan yang terjalin berhias kasih yang
suci berbumbungkan teduhan rahmat dari Yang Maha Mengasihi lagi Maha
Menyayangi.
BUKAN BLUETOOTH, BUKAN WIFI….
Buat akhirnya, mari kita insafi bersama bahawa dalam mendambakan keserasian
pasangan, mengimpikan pencinta sejati baik dari lelaki atau perempuan sampai
tangan keduanya berpimpin erat sebagai suami isteri, semua itu bertitiktolak
dari keburukan dan kemuliaan yang dijana pada setiap individu di dalamnya. Ia
adalah hasil dari pilihan diri mereka masing-masing.
Mungkin sahaja mereka berkahwin dengan seseorang yang sangat angkuh, buruk
akhlak dan bermasalah moral yang dahsyat sehingga mengaku dirinya TUHAN,
sebagaimana Asiah yang bersuamikan Si Mahazalim Firaun, tetapi akidah Asiah
tetap utuh terpelihara lalu dengan yakin dia memohon Syurga dari Yang Maha Esa.
Seseorang itu juga mungkin sahaja menikahi individu yang sangat mulia dari
kalangan manusia sebagaimana isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut alaihimassalam,
tetapi kemuliaan si suami tidak berkesan sedikitpun kepada diri keduanya lalu
mereka menjadi hamba yang ingkar dan bakal menghuni neraka yang menyala.
Untuk itu, bagi yang telah menemui ‘kekasih sejati’ dalam kehidupan rumahtangganya,
berdoalah dengan tulus agar kerukunan rumahtangga anda dan pasangan yang
dikasihi bersama di dunia hingga ke syurga abadi, bukan sekadar hingga ke
akhirat kerana al Quran sudah merakamkan perihal pasangan yang riwayat hidupnya
'berjuang' bersama di dunia, dan di akhirat kelak mereka masih setia berdua,
tetapi pengakhiran mereka bukan di syurga, tetapi dalam neraka yang sungguh
menyeksa.
Sementara kepada yang belum dan masih dalam pencarian, sudah pasti bukan
jejaka ‘Bluetooth’ atau wanita ‘Wifi’ yang diinginkan oleh seorang muslim dan
muslimah beriman, tetapi individu yang menjadikan cinta ALLAH dan Rasul-NYA
sebagai cinta paling teratas. Individu sebegini memuliakan diri dan pasangannya
dengan mendepankan syari’at ILAHI lalu mereka tahu kerana apa mereka berada di
sisi pasangannya dan kerana apa pula mereka menjauh diri dari pasangannya pada
satu-satu ketika. Kerana ALLAH, hanya DIA menjadi sebab utama!
Ingatlah,
seseorang itu juga mungkin tidak berkesempatan mempunyai seorang suami atau
isteri pun bagi melengkapi kebahagiaan hidupnya di dunia ini sebagaimana Maryam
ibunda Nabi Isa a.s, tetapi keadaan itu tetap melayakkannya menjadi antara
individu ( wanita ) paling terpandang di sisi Yang Maha Kaya.
Justeru, pilihlah jalan-jalan yang membawa diri kepada-NYA, pasangan
hanyalah salah satu jalan untuk bahagia, sedang ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang itulah sebenar-benar sumber kebahagiaan.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.